Pengikut

Jumaat, 26 Jun 2009

1 MALAYSIA:BELIA BERWAWASAN PENGGERAK KEJAYAAN

“ Berikan saya sepuluh belia waja nescaya saya dapat membangunkan negara”
-Presiden Soekarno-

Petikan kata-kata dari mantan presiden Indonesia ini jelas menggambarkan belia berwawasan mampu menggerakkan sesebuah negara kearah sebuah negara yang unggul. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Kamus Pelajar belia boleh didefinisikan sebagai orang yg sudah akil baligh tetapi belum tua lagi. Belia boleh diklasifikasikan sebagai golongan yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun. Justeru itu, belia boleh dianggap sebagai penyumbang utama sumber tenaga kepada negara. Tanpa belia yang berwawasan sudah pasti sesebuah kerajaan atau negara akan musnah dan hancur. Oleh itu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri baru Dato’ Seri Najib Tun Razak mengekalkan malah ingin memperkasakan lagi Kementerian Belia dan Sukan(KBS) yang diterajui oleh Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

“ Satu Malaysia . Rakyat Didahulukan . Pencapaian Diutamakan”
-Dato’ Seri Najib Tun Razak-

Slogan tersebut menjadi asas kearah pentadbiran gemilang Perdana Menteri Dato’ Seri Najib dalam ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-5 negara. Justeru itu , KBS telah memperkenalkan konsep Satu Belia . Konsep ini bertujuan mengurangkan jurang perkauman diantara belia majmuk yang ada di Malaysia. Dewasa ini golongan belia di negara ini hayut kesan permodenan yang melanda Negara. Isu-isu perkauman yang semakin meruncing kebelakangan ini menyebabkan KBS berusaha untuk memulihkan semangat kerjasama antara belia pelbagai kaum di Malayasia. Cuba kita bayangkan jika belia cina, belia melayu dan belia India membuat hal mereka sendiri , mampukan kita merealisasikan hasrat untuk menjadi Negara maju menjelang 2020. Mungkin asas Wawasan 2020 yang diletakkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan lebur begitu sahaja. Oleh itu pihak kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyatukan belia-belia Malaysia untuk sama-sama membina satu komuniti yang mampu memperkasa negara agar boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Dewasa ini belia muda kita terpedaya dan akhirnya hayut dengan melakukan kesalahan dan berani melanggar undang-undang. Aktiviti merempit, pengambilan dadah, seks bebas dan bermacam lagi jenayah berat seringkali disiarkan media cetak dan media elektronik. Aktiviti ini kebanyakannya dilakukan oleh golongan belia yang bakal memimpin negara satu hari nanti. Kita seringkali dihidangkan dengan aksi-aksi berani mati ‘mat rempit’ yang melarikan diri dari polis dengan cara menongkah arus lalu lintas. Cuba kita fikirkan jika sehari kita kehilangan sepuluh orang belia akibat kecelakaan yang dicipta sendiri oleh mereka, tidak mustahil negara akan ketandusan belia untuk menjadi pemimpin masyarakat satu hari nanti. Selain aktiviti merempit, belia hari ini juga cenderung untuk mengambil dadah. Bukan sekadar golongan tidak berpendidikan tinggi malah golongan professional juga mengambil dadah tanpa memikirkan akibatnya. Jika golongan professional seperti doktor, pensyarah dan peguam mengambil benda haram ini bagaimana mereka ingin menjadi contoh kepada golongan belia hari ini. Sayang seribu kali sayang jika belia hari ini terus hanyut dibuai mimpi-mimpi indah dengan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral. Kerajaan harus mengambil langkah proaktif untuk membendung masalah kekacauan minda di kalangan belia hari ini supaya ia dapat dikikis . Bak kata pepatah lebih baik mencegah dari mengubati. Sebelum ‘virus’ ini menjadi lebih parah dan sukar diubati kerajaan haruslah berusaha membentaras gejala tidak sihat dikalangan belia ini habis-habisan.

“Anda tidak boleh lari dari masalah dengan cara menyingkirkannya hari ini”
-Abraham Lincoln-

Pelbagai langkah yang telah , sedang dan sudah dilakukan kerajaan untuk membanteras gejala tidak bermoral belia dewasa ini. KBS tidak keseorangan dalam membantu belia Malaysia malah Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi(KPTM) juga sama-sama membantu menjadikan belia Malaysia sebagai golongan yang unggul dan berfikiran kelas pertama di mata dunia. Bermula dari sekolah menengah KPM telah berusaha sedaya upaya untuk membentuk sahsiah belia kearah kecemerlangan. Sesuai dengan falsafah pendidikan Negara yang hendak melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelbagai program telah dilakukan untuk membanteras gejala tidak bermoral dikalangan belia. Antaranya ialah dengan mengadakan ujian air kencing (urine test) untuk memastikan pelajar bebas dari dadah. Selain itu aktiviti kokurikulum juga menampakkan hasil. Aktiviti perkhemahan yang dianjurkan badan beruniform bukan sahaja mengisi masa dengan aktiviti berfaedah malah menjadikan pelajar lebih berani ,mempunyai bakat kepemimpinan dan bersemangat waja. Hal ini bukan sahaja dapat membendung masalah moral belia malah dapat mencungkil bakat kepimpinan di kalangan belia. Tidak mustahil pada masa hadapan kita dapat melahirkan belia berwawasan yang akan menggegarkan dunia.

Mewujudkan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) bukan sekadar melengkapkan barisan kabinet baru Dato’ Seri Najib malah berperanan besar menarik belia yang hanyut kearah kebaikan. Program-program yang dijalankan KBS sentiasa mendapat perhatian masyarakat khususnya belia. Aktiviti seperti mengunjungi rumah orang tua, kempen derma darah dan aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja dapat mendekatkan belia dengan masyarakat malah dapat mempertingkatkan semangat menghormati orang tua. Selain itu, Rakan Muda juga berperanan terhadap ahlinya. Pelbagai promosi diadakan bagi menarik minat belia menyertai Rakan Muda. Aktiviti seperti sukan, kesenian dan kemasyarakatan begitu sinonim dengan Rakan Muda. Justeru itu, tidak hairanlah jika Rakan Muda dapat melahirkan belia berwawasan yang akan menggerakkan kejayaan Malaysia di masa depan. Aktiviti seperti sukan dan kesenian bukan sahaja mengisi masa lapang belia dari melakukan aktiviti tidak berfaedah malah dapat mencungkil bakat belia untuk diketengahkan. Deretan nama-nama besar sukan Negara merupakan dari kalangan belia. Dato’ Nicol David, Dato’ Lee Chong Wei dan Azizul Hasni Awang telah membuktikan belia berwawasan penggerak kejayaan. Mereka tahu matlamat dan wawasan mereka. Justeru itu, mereka ingin mengecapi kejayaan yang mereka inginkan. Oleh itu, semua pihak hendaklah menyokong usaha murni kerajaan ini supaya manfaatnya dapat dilihat pada masa hadapan.

Usaha kerajaan untuk merealisasikan belia berwawasan haruslah sama-sama disokong oleh masyarakat khususnya ibu bapa. Hal ini kerana setiap perkara haruslah dimulakan dari institusi yang kecil sekali iaitu dalam keluarga. Sesetengah ibu bapa hanya pandai menuding jari kepada guru dan kerajaan jika perkara buruk terjadi kepada anak mereka. Mereka tidak sedar bahawa guru perlu mengawal beratus pelajar, kerajaan pula terpaksa memantau 12 juta belia seluruh negara. Persoalannya, bagaimana guru dan kerajaan hendak mengawal belia yang ramai di negara ini? Oleh itu, ibu bapa haruslah sama-sama memantau anak-anak mereka supaya menjadi seorang belia yang berwawasan agar suatu hari nanti akan lahirlah anak-anak Malaysia yang bersemangat waja menerajui negara. Memupuk semangat berwawasan di kalangan belia haruslah dilakukan pada peringkat mereka masih kecil lagi. Ibu bapa beperanan mengetahui apa cita-cita anak mereka agar ibu bapa dapat membantu merealisasikan wawasan anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah bersama-sama dengan kerajaan melahirkan generasi belia yang berwawasan agar negara kita mempunyai pemimin pelapis yang mempunyai minda kelas pertama pada masa hadapan.

Konklusinya, semua pihak haruslah memainkan peranan penting untuk melahirkan belia yang berwawasan. Pihak kerajaan, masyarakat dan ibu bapa haruslah sama-sama menunjukkan teladan yang baik kepada belia hari ini. Isu-isu politik dan perkauman haruslah ditolak dan disingkirkan seketika tatkala negara memerlukan generasi muda yang berwawasan untuk mengecapi kejayaan selaras dengan wawasan 2020. Sejarah telah membuktikan belia-belia berwawasan mampu untuk memberi kejayaan gemilang kepada negara. Justeru itu, belia juga harus sedar tanggungjawab dan tugas berat yang harus mereka pikul dimasa hadapan. Belia haruslah meletakkan wawasan menjadi belia yang unggul untuk menjamin kejayaan negara pada masa hadapan. Oleh itu, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan haruslah memberi panduan kepada belia untuk mencorakkan wawasan dan cita-cita mereka agar suatu hari nanti akan lahirlah pemimpin-pemimpin waja dari kaum Melayu, Cina, India dan kaum etnik yang lain. Semoga slogan ‘satu Malaysia’ dan ‘satu belia’ dapat direalisasikan.

‘Satu Malaysia. Satu Belia’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan